The Way I Am

Saturday, March 1, 2008

~CINTA~


Mengapa cinta pertama sukar untuk kita lupakan? Mengapa masih si dia yang kita nantikan walaupun setelah sekian lama kita kehilangan gelaran kekasih dalam hidupnya? Biar telah lama mahupun baru sahaja ditinggalkan atau meninggalkan, mengapa kita masih mempunyai perasaan untuk berpaling dan menatap wajahnya biarpun hanya untuk seketika? Sekiranya si dia cinta pertama kita, tetapi bukan diri kita cinta pertamanya adakah dia juga merasakan apa yang rasa? Kata orang tua-tua, tatkala kita merindui seseorang, dia juga sedang merindui kita. Benarkah keadaan itu terjadi? Atau hanya kita yang menanggung beban itu sendiri, hanyut dan leka dibuai perasaan rindu yang tak sepatutnya wujud dalam sanubari kita lagi. Tapi mengapa begitu sukar untuk dilupakan? Kesedihan jelas terdampar ketika terkenang si dia yang paling kita sayangi selama ini kini berjauhan. Biarpun kini cuma sahabat tapi sukar untuk menerima kenyataan bahawa hubungan intim yang dinamakan cinta itu tak boleh didapati kembali. Segala kesukaran yang dilalui bersamanya dan juga untuk bersamanya bagai sembilu yang menusuk hati pabila diingati semula. Sehingga sekarang, biar hanya bergelar sahabat, namun andainya cinta itu masih kuat dan utuh menggegarkan jiwa tatkala menyebut namanya, perasaan sedih dan sebak itu pasti muncul kembali.

”Hati ini sentiasa memanggil namamu sayang, biarpun masa tak dapat diputarkan kembali. Namun jika ada peluang kedua yang memanggil, seru sahaja namaku dan aku akan muncul disisimu.”

Begitulah kata-kata indah yang sentiasa mekar disirami rindu yang mendalam dan dibajai dengan sepenuhnya kasih sayang yang tak mungkin dapat diperolehi daripada insan lain. Hanya yang benar-benar menyayangi dirimu dan yang menyayangi dirimu sebegitu hanya seorang saja. Takkan pernah ada yang lain. Percayalah bahawa cinta yang begitu mendalam hanya muncul sekali. Cinta yang mampu menjadi abdi kepada manusia, dan cinta itu juga yang paling didambakan oleh setiap insan yang mengerti erti cinta dan menghargai cinta. Sememangnya cinta mudah didapati, tapi adakah cinta yang kini dimilki benar-benar mencintai kita atau hanya mencintai kehidupan kita? Siapa yang benar-benar berada disisi tatkala berada dalam kesusahan? Siapa yang memberikan motivasi dalam setiap kecundangan? Walau terluka, siapa yang yang menjadikan kita penawar kepada perbuatan sendiri yang telah melukakannya? Walau ditinggalkan namun tetap sabar menantikan kepulanganmu? Walau terasa ditipu, namun tetap mengagungkan dirimu?

Itulah cinta abadi teman-teman. Itulah cinta yang paling sukar untuk didapatkan selagi manusia bernafas di atas muka bumi ini. Mungkin cinta sedemikian pernah muncul dalam diri anda semua tetapi tidak dihargai. Jika pernah, apakah yang anda telah lakukan kepadanya? Mengapa dia akhirnya mengambil keputusan untuk meninggalkan dirimu? Bukan salahnya teman-temanku. Salah diri kita sendiri kerana tidak menghargainya. Namun sedemkian, percayalah bahawa jauh disudut hatinya dia masih menantikan kamu. Carilah dirinya, ketuk kembali pintu hati yang telah kamu kecewakan itu suatu masa dulu. Nescaya dia masih ingin kembali padamu dengan harapan kamu juga mengerti, menyedari dan sedia berubah. Dia terlebih dahulu telah memahami dirimu, cuma minta diberikan peluang kedua untuk menyesuaikan dirinya dengan kehidupanmu. Mungkin kerana gaya hidupmu terlalu kompleks sehingga menyebabkan dirinya sukar untuk bernafas berada di alam kamu. Berikan dia ruangan untuk berpijak, bernafas dan membuat keputusan.

Teman-temanku, sekiranya dia masih dekat denganmu walau telah berpisah, bermakna dia masih mengharapkan dirimu untuk kembali. Kesabarannya menunggumu adalah satu pengorbanan. Percayalah. Sekiranya kamu berjaya mendapatkannya kembali, berilah respon kepada warta luahanku ini. Jika benar apa yang ku katakan mengenai ”cinta ibarat mentari” ini yang sukar dilenyapkan, berilah kekuatan kepadaku untuk meneruskan bidang penulisan mengenai cinta yang sememangnya satu keperluan dalam kehidupan seharian.

Sekian.

~CINTA~








No comments: